4-9-2020
BEAUTIFUL KILLER |
SINOPSIS👇🏻
Kecantikan itu terletak pada mata yang memandang. Bagaimana pula bila kecantikan itu sendiri menjadi sumpahan? Menjadi sebab wanita cantik ini dibunuh?
Sarah kehilangan kembarnya, Aina. Kembarnya itu dibunuh dengan kejam. Mayat kembarnya yang dipotong dan disumbat di dalam beg hitam ditemui di dasar sebuah tasik.
Ketika itu bukan setakat mayat kembarnya itu sahaja yang ditemui. Dua lagi beg ditemui. Keadaan mayat sama dengan mayat kembarnya. Satu tembakan di dahi dan mayat dipotong kepada beberapa bahagian.
Kedukaan kehilangan kembar yang bagaikan kehilangan separuh dirinya memaksa Sarah mencari pembunuh sebenar. Atas desakan ibunya, Sarah menghadiri temuduga di Alor Setar.
Di sana dia bertemu dengan dua lelaki,
Muzammil Harriz, seorang playboy.
“Sebab tu wajah awak ni nampak familiar… tetapi yang meninggal tu… cerah kan?” soal Harriz.
“Jika kamu kembar. Kenapa yang itu cantik… tapi kamu…emmm.”
Sarah sentiasa meletakkan jarum syaknya kepada ketuanya itu di atas sebab tertentu. Betulkah Harriz pembunuhnya?
Irfan, jiran dan juga jurulatih tae kwan do.
“Tak mengapa. Saya dah biasa. Dia tinggalkan saya dan kemudian... saya dapat berita yang dia dah meninggal.” Irfan memberhentikan keretanya di hadapan pintu masuk bangunan pejabat Sarah.
Sarah terkejut. Kakinya bagai terlekat di lantai kereta. “Isteri saya dan kembar awak mangsa pembunuh yang sama, Sarah.”
Mungkinkan Irfan pembunuhnya? Membalas dendam kerana ditinggalkan oleh isterinya yang sentiasa mencari kesempurnaan sehingga tega meninggalkan anaknya.
Darwish pula bekas pegawai polis. Dia digantung tugas akibat disyaki sebagai pembunuh Alisya, bekas tunangnya.
“Kau jaga Sya… aku tak akan biarkan kau terlepas begitu sahaja,” laung Darwish sekuat hati bila dia ditarik keluar dari kedai tersebut.
Adakah itu ugutan kosong atau benar-benar Darwish membunuh Arisya dan juga semua wanita cantik yang lain.
Siapakah lelaki misteri yang membunuh wanita cantik ini?
“Kamu semua dilahirkan cantik. Tapi, kamu tak pernah rasa gembira, ada sahaja yang kamu lakukan demi untuk kelihatan sempurna. Tengok aku!” Dia mendabik dada.
Apakah motif pembunuh wanita cantik ini? Siapakah mangsa seterusnya? Adakah pembunuhnya salah seorang lelaki yang Sarah kenali?
Atau pembunuhnya adalah binatang yang bersembunyi di sebalik samaran wanita yang cantik?